PETALING JAYA, 22 April – Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak, Saarani Mohamad berkata, bukan Barisan Nasional atau Umno yang merancang komplot menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar, tetapi ia didalangi pemimpin Pakatan Harapan untuk menutup kelemahan parti pemerintah itu.
Adun Kota Tampun itu mencabar semua Adun PH Perak untuk mengadakan perbincangan tertutup bagi mencari dalang di sebalik gerakan menyingkirkan Faizal.
Beliau turut menawarkan diri untuk menjelaskan dalang merancang gerakan menggulingkan Faizal kepada 31 Adun PH.
“…kami tidak terlibat. Umno dengan PAS sekarang sedang susun muafakat, kami sedang berdamai, kami tidak menjaga hal mereka (PH).
“Benda ini dilakukan antara mereka, kita tidak berminat nak campur urusan mereka, mereka kena selesai sesama sendiri, ini masalah dalaman PH.
“Lebih baik 31 Adun PH buat satu perjumpaan tertutup dan berbincang dari hati ke hati, adakah audio itu sahih atau tidak,” katanya kepada FMT merujuk rakaman audio selama 4 minit 22 saat yang tersebar di media sosial berkaitan komplot menjatuhkan Faizal yang membabitkan seorang individu didakwa ialah Adun Perak.
Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, dakwaan komplot menjatuhkan Faizal hanya khabar angin dan cubaan pembangkang untuk menimbulkan kacau bilau di Perak.
Exco Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim pula dilaporkan berkata, isu menyingkirkan Faizal mungkin sengaja dicetuskan pihak lawan menjelang sidang DUN.
“Isu itu selalu dibangkitkan setiap kali persidangan DUN. Sebenarnya, tiada isu timbul, semua exco tidak ada masalah dengan MB, kami semua di belakang beliau,” kata Hasnul.
Rakaman audio yang tersebar di media sosial Khamis lalu, dikatakan suara seorang Adun dan ada yang mengaitkannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari, tetapi beliau menafikan dakwaan itu.
Kelmarin, Faizal dilaporkan berkata, rakaman audio mengenai komplot menjatuhkannya belum dibuktikan sahih dan semua perkara mungkin berlaku berdasarkan kecanggihan teknologi sekarang.
Katanya, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa, walaupun banyak pihak cuba menjatuhkannya sejak hari pertama dilantik menerajui Perak.
Pada 7 Disember lalu, Saarani mendakwa gerakan menjatuhkan Faizal didalangi Exco Kerajaan Negeri, Aziz yang tidak menjanjikan habuan wang, tetapi 2 daripada 5 Adun Umno ditawarkan jawatan exco negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu terkandung dalam 2 daripada 5 pengakuan bersumpah Adun Umno yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 6 Disember lalu.
Katanya, 5 pengakuan itu menyatakan Aziz mendakwa dirinya disokong 18 Adun DAP serta masing-masing 4 lagi dari Amanah dan PKR, selain mendakwa Faizal tidak menunjukkan prestasi baik.